Tuesday, October 11, 2011

Nasihat Luqman Al-Hakim pada anaknya

Hai anakku! Ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan ini dengan sampan bernama taqwa, isinya ialah iman dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah.
Orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan Allah.
Hai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan rendah di dalam beribadah dan taat kepada Allah, maka dia tawadhuk kepadanya, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepadaNya.
Hai anakku! Seandainya orang tuamu marah kepadamu (kerana kesalahanmu), maka marahnya orang tua itu adalah bagai baja bagi tanam-tanaman.
Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.